Guna Akaun 3 KWSP untuk beli emas?

Photo of author

Fauzi Mohd Darus

Baru-baru ini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melakukan penstrukturan semula akaun ahli pencarum dan juga memperkenalkan akaun baharu yang dinamakan sebagai Akaun 3 atau juga dikenali sebagai Akaun Fleksibel.

Penstrukturan ini adalah bagi memastikan keselamatan pendapatan ahli selepas persaraan dan menangani keperluan jangka masa pendek ahli yang mencarum dengan KWSP.

Penstrukturan akaun KWSP kini dibahagikan seperti berikut:

  • Akaun Persaraan: Sebelum ini dikenali sebagai Akaun 1, adalah untuk simpanan hari persaraan. Jumlah agihan sebanyak 75%.
  • Akaun Sejahtera: Sebelum ini dikenali sebagai Akaun 2, adalah untuk keperluan kitaran hayat semasa persaraan. Jumlah agihan sebanyak 15%.
  • Akaun Fleksibel (Akaun 3): Memberikan fleksibiliti untuk membuat pengeluaran pada bila-bila masa untuk keperluan kewangan jangka pendek. Jumlah agihan sebanyak 10%.

Dan bermula dari 12 Mei 2024 sehingga 31 Ogos 2024, ahli yang mencarum dengan KWSP boleh memohon untuk membuat pindahan baki dari Akaun 2 untuk dimasukkan ke Akaun 3 sebagai amaun permulaan.

Dan amaun yang dipindahkan ke dalam Akaun 3 ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa. Tetapi jumlah amaun tersebut bergantung pada berapa banyak baki yang terdapat dalam Akaun 2 anda.

Situasi 1 - Baki Akaun 2 melebihi RM3,000

Sekiranya baki Akaun 2 anda melebihi RM3,000. Maka satu per tiga dari baki tersebut boleh dipindahkan masuk ke Akaun 3 anda sebagi amaun permulaan.

Sebagai contoh dalam Akaun 2 anda ada RM6,000. Maka sebanyak RM2,000 boleh dipindahkan masuk ke Akaun 3 anda dan boleh anda keluarkan pada bila-bila masa.

Situasi 2 - Baki Akaun 2 antara RM1,000 hingga RM3,000

Sekiranya baki Akaun 2 anda antara RM1,000 hingga RM3,000, maka maksimum amaun yang boleh dipindahkan ke Akaun 3 anda adalah sebanyak RM1,000 sahaja.

Situasi 3 - Baki Akaun 2 bawah RM1,000

Dan sekiranya baki Akaun 2 anda bawah RM1,000, ke semua jumlah baki dalam Akaun 2 akan dipindahkan ke dalam Akaun 3 anda.

Berbaloi tak guna Akaun 3 untuk beli emas?

Seperti yang pernah dimaklumkan oleh KWSP, kadar dividen untuk Akaun 3 adalah sama dengan Akaun 1 dan Akaun 2. Dan secara purata, dividen tahunan KWSP adalah sekitar lima peratus.

Sama seperti yang pernah saya share dalam penerangan saya sebelum ini tentang ASB dan emas, emas lebih sesuai dibeli jika anda nak simpan dalam tempoh lebih dari dua tahun.

Ini kerana emas mempunyai susut nilai dan jika anda beli dan jual dalam masa kurang dari dua tahun, keuntungan yang anda akan dapat tidaklah banyak dan mungkin boleh menjadi rugi.

Tetapi jika anda nak beli dan simpan emas untuk tempoh jangka masa yang panjang, ya, emas adalah instrumen simpanan yang sangat berbaloi kerana nilai emas akan sentiasa naik.

Jadi, semak semula apa perancangan kewangan anda.

Kalau tanya saya, Akaun 3 ini lebih sesuai untuk hapuskan hutang-hutang jahat seperti hutang kad kredit, hutang peribadi dan apa-apa hutang yang boleh dihapuskan terus.

Bila hutang dah habis, barulah aliran tunai bulanan anda akan bertambah cantik kerana hutang-hutang jahat dah dihapuskan.

Cumanya, jangan la pula bila hutang dah habis bayar, anda gatal pula nak buat hutang yang lain.

Tips Simpanan Emas & Public Gold

Masukkan nama dan emel anda untuk saya hantarkan melalui emel.

Leave a Comment