Sekarang ini semakin banyak kedai emas yang menjual emas secara online. Ada yang menjual emas dengan menggunakan website dan ada juga yang menggunakan platform media sosial seperti TikTok, Instagram, Telegram dan juga Facebook.
Tetapi, adakah selamat untuk kita beli emas secara online? Apakah tips-tips penting yang perlu kita ketahui sebelum membuat belian emas secara atas talian?
Jenama yang dikenali
Sebelum kita decide untuk beli emas secara online, pastikan jenama emas yang kita nak beli itu adalah jenama yang dikenali. Buat carian di Google tentang jenama emas tersebut. Ada tak sebarang review atau komen yang positif dari customer-customer mereka sebelum ini.
Kalau ada, ok. Tetapi kalau kebanyakan komen tersebut adalah negatif, lebih baik elakkan dari berurusan dengan emas jenama tersebut.
Berdaftar dengan SSM
Setiap jenis perniagaan di Malaysia samada online mahupun offline mestilah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Ianya telah diumumkan oleh SSM pada tahun 2017 lagi.
Kegagalan dalam mematuhi peraturan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman dua tahun penjara atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Semak adakah kedai emas online yang anda ingin beli itu mempunyai nombor pendaftaran perniagaan yang sah atau pun tidak. Kebiasaannya peniaga-peniaga ini akan memaparkan nombor pendaftaran perniagaan mereka di bahagian profile.
Pastikan emas tulen
Tak semua emas adalah sama. Emas datang dalam pelbagai ketulenan. Emas yang terbaik adalah emas berketulenan 999 atau 24 karat. Emas jenis ini adalah emas tulen kerana 99.9% unsurnya terdiri daripada emas dan tidak dicampur dengan logam lain.
Harga emas adalah mahal. Kalau harga yang dijual oleh peniaga online adalah sangat murah sampai tak terfikir dek akal, lebih baik kita cari peniaga lain.
Keselamatan Penghantaran
Kalau dah beli secara online, sudah semestinya barang itu akan dihantar melalui pos ke alamat rumah kita. Tetapi adakah emas yang dihantar itu selamat?
Di sini kita kena semak dengan peniaga bagaimana cara mereka membuat penghantaran itu nanti. Apakah jaminan yang mereka berikan? Adakah penghantaran itu dilindungi dengan insurans?
Kita tak nak la nanti bila tengok rekod penghantaran kata item emas itu telah diterima tetapi emas tersebut takde pun dengan kita.
Simpan resit pembelian
Pastikan kita simpan resit pembelian emas tersebut baik-baik. Kebiasaannya pembelian secara online ini akan dapat resit yang dihantar melalui email.
Simpan email resit tersebut dalam satu folder khas supaya mudah untuk kita nak carinya nanti. Dengan resit ini juga kita boleh rekod belian emas kita dalam app Peti Emas. Dengan app ini akan lebih mudah untuk kita ketahui berapa banyakkah emas yang telah kita beli, untung-rugi membeli emas, purata harga emas dan banyak lagi.
Ada tak tips-tips lain yang saya tertinggal? Kalau ada, boleh kongsikan melalui komen di bawah.