5 Cara Mudah Untuk Simpan Duit

Photo of author

Fauzi Mohd Darus

Bukan senang nak simpan duit lagi-lagi bila sekarang ini kita boleh berbelanja dengan mudah hanya melalui hujung jari. Tekan, tekan je dah siap order dan tunggu je barang dihantar pos ke rumah. Even emas pun boleh dibeli secara onlie melalui Gold In Transit.

Tetapi kepentingan untuk menyimpan duit tidak boleh diambil ringan sebabnya mengikut kajian yang dibuat oleh Visa pada tahun 2019, seramai 43% rakyat Malaysia membelanjakan kesemua duit pendapatan mereka setiap bulan. Situasi ini amat membimbangkan dan boleh membawa kepada masalah kewangan yang serius pada masa akan datang.

Tidak kira sama ada anda seorang yang baru sahaja mulakan pekerjaan atau seorang yang sudah lama berkerjaya, menyimpan duit adalah kemahiran penting yang perlu anda kuasai.

Dalam artikel kali ini, saya akan kongsikan lima cara mudah yang anda boleh praktikkan untuk menyimpan duit tanpa mengira berapa banyak duit gaji yang anda dapat setiap bulan.

1. Teknik Tabung Kreatif

Salah satu cara yang berkesan untuk menyimpan duit adalah melalui teknik tabung kreatif. Cara ini bukan sahaja dapat membantu anda untuk menyimpan duit, tetapi ianya juga dapat menjadikan proses menyimpan duit ini menjadi lebih menarik dan menyeronokkan.

a) Tabung Hijau RM5

Satu kaedah yang popular adalah Tabung Hijau RM5. Konsepnya mudah: setiap kali anda menerima duit wang kertas RM5, simpan duit tersebut ke dalam Tabung Hijau. Selepas enam bulan, anda boleh ambil 10% daripada tabung tersebut sebagai ganjaran. Kaedah ini berkesan kerana:

  • Ia tidak membebankan kewangan anda secara drastik
  • Wang RM5 cukup kecil dan anda tak terasa ralat untuk menyimpan
  • Cara mudah untuk simpan duit tanpa perlu berfikir panjang

b) Tabung 52 Minggu

Kaedah yang seterusnya adalah Tabung 52 Minggu. Caranya mudah sahaja. Anda simpan duit mengikut minggu dalam tahun tersebut.

Sebagai contoh:

  • Minggu 1: Simpan RM1
  • Minggu 2: Simpan RM2
  • Minggu 3: Simpan RM3
  • dan seterusnya sehingga cukup Minggu 52: Simpan RM52

Jika anda konsisten, anda boleh mengumpul sebanyak RM1,378 dalam setahun. Nampak je kecil tetapi ianya cukup untuk anda jadikan sebagai Tabung Kecemasan atau digunakan untuk pelaburan kecil nanti.

2. Teknik Tiga Bank

Teknik Tiga Bank adalah satu strategi yang berkesan untuk anda mengurus kewangan secara sistematik seperti yang dikongsikan oleh Dr. Adam Zubir. Tetapi anda perlu mempunyai tiga akaun bank yang berbeza jika anda ingin menggunakan teknik ini.

a) Holding Bank

Holding Bank adalah bank di mana duit gaji anda dimasukkan pada setiap bulan. Fungsi bank ini adalah sebagai tempat pengagihan duit gaji anda untuk perbelanjaan harian, pembayaran bil dan untuk alihkan sebahagian duit ke dalam dua akaun bank yang lain iaitu Entertainment Bank dan juga Saving/Investment Bank.

Tips:

  • Pastikan anda mempunyai baki yang mencukupi untuk perbelanjaan bulanan
  • Gunakan akaun bank ini untuk pembayaran automatik seperti bil elektrik, bil telefon, bil air, ansuran pinjaman dan lain-lain

b) Entertainment Bank

Daripada Holding Bank tadi, asingkan sebanyak 10% daripada duit gaji bulanan anda ke dalam akaun Entertainment Bank ini.

Bank ini berfungsi sebagai tempat untuk anda simpan duit bagi tujuan berhibur seperti:

  • Melancong
  • Makan di luar
  • Aktiviti riadah
  • Membeli barangan berbentuk kehendak (bukan keperluan)

Kenapa kena asingkan duit ke dalam Entertainment Bank? Sebagai motivasi dan ganjaran selepas anda bekerja keras setiap bulan dan anda perlu rewardkan diri dengan berbelanja tanpa rasa bersalah.

c) Saving/Investment Bank

Bank yang ke-3 adalah akaun bank yang paling penting untuk masa depan kewangan anda. Asingkan sekurang-kurangnya 10% duit gaji daripada Holding Bank tadi dan masukkan ke dalam akaun bank ini.

Duit yang anda simpan dalam bank ini adalah sebagai:

  • Dana Kecemasan (boleh juga simpan duit Tabung Kreatif di atas masuk ke dalam bank ini)
  • Pelaburan jangka panjang untuk melabur seperti saham dan emas
  • Simpanan untuk benda yang besar seperti membeli rumah atau dana persaraan

Pastikan anda tidak usik duit yang disimpan dalam akaun bank ini melainkan untuk tujuan pelaburan atau terdesak ketika kecemasan sahaja.

3. Pemotongan Automatik

Dulu mungkin susah nak buat pemotongan automatik atau juga dikenali sebagai auto debit. Tetapi sekarang dah mudah semuanya anda boleh buat sendiri dari akaun bank anda.

Bergantung pada bank yang anda gunakan, kebiasaannya cara untuk set auto debit ini boleh dibuat melalui tetapan akaun bank secara online. Atau boleh terus minta majikan anda buat pemotongan secara automatik seperti di bawah.

a) Simpanan Automatik dari Gaji

Banyak majikan kini menawarkan pilihan untuk memotong sebahagian daripada gaji anda secara automatik untuk tujuan simpanan. Ini adalah cara yang sangat berkesan kerana:

  • Anda tidak perlu mengingati untuk menyimpan setiap bulan
  • Wang disimpan sebelum anda sempat berbelanja
  • Ia membantu anda "hidup dengan apa yang ada" selepas simpanan

Selain itu juga, anda boleh buat pemotongan zakat pendapatan terus dari gaji anda. Kaedah ini amat digalakkan kerana akan memudahkan anda untuk laporan cukai tahunan nanti.

b) Aplikasi Simpanan Digital

Terdapat pelbagai aplikasi yang direka khas untuk membantu anda menyimpan duit. Sebagai contoh, aplikasi seperti MAE oleh Maybank membolehkan anda menetapkan simpanan automatik berdasarkan transaksi perbelanjaan anda.

Ciri-ciri aplikasi simpanan digital yang baik termasuklah:

  • Pemotongan secara automatik
  • Penetapan matlamat simpanan
  • Analisis perbelanjaan (sangat berguna untuk kenalpasti di mana duit anda habis dibelanjakan)
  • Peringatan untuk menyimpan

Dengan menggunakan aplikasi ini, anda boleh menjadikan proses menyimpan lebih mudah dan menyeronokkan.

4. Teknik Sampul dan Pengasingan Wang

Kaedah ini mungkin kelihatan lama, tetapi ia masih sangat berkesan, terutamanya untuk mereka yang suka menguruskan wang secara fizikal.

a) Kaedah Sampul Berwarna

Kaedah sampul berwarna melibatkan penggunaan sampul yang berbeza warna untuk kategori perbelanjaan dan simpanan yang berlainan. Sebagai contoh:

  • Sampul Merah: Perbelanjaan rumah
  • Sampul Biru: Pengangkutan
  • Sampul Hijau: Makanan
  • Sampul Kuning: Simpanan

Setiap kali anda menerima gaji, agihkan wang ke dalam sampul-sampul ini mengikut bajet yang telah ditetapkan. Ini membantu anda untuk:

  • Mengawal perbelanjaan dengan lebih baik
  • Melihat dengan jelas di mana wang anda dibelanjakan
  • Mengelakkan perbelanjaan berlebihan dalam mana-mana kategori

b) Formula 80/10/10

Formula 80/10/10 adalah satu lagi cara mudah untuk mengagihkan pendapatan anda:

  • 80% untuk keperluan harian dan komitmen
  • 10% untuk simpanan
  • 10% untuk pelaburan atau sedekah

Formula ini lebih praktikal untuk mereka yang berpendapatan rendah, tetapi ia boleh disesuaikan mengikut keadaan kewangan anda. Yang penting adalah anda mempunyai sistem yang konsisten untuk mengagihkan pendapatan anda pada setiap bulan.

5. Simpanan untuk Tujuan Khusus

Menyimpan duit menjadi lebih bermakna apabila anda mempunyai tujuan yang jelas. Teknik ini ada juga saya terangkan dalam cara mudah untuk mula simpan emas dengan Teknik TMB.

a) Tabung Kecemasan

Tabung Kecemasan adalah penting untuk melindungi anda daripada masalah kewangan yang tidak dijangka. Pakar kewangan mencadangkan untuk mempunyai simpanan kecemasan yang bersamaan dengan 3 hingga 6 bulan gaji anda.

Cara untuk buat Tabung Kecemasan:

  • Mulakan dengan matlamat kecil, seperti RM1,000
  • Tambah secara konsisten setiap bulan
  • Simpan di akaun yang mudah diakses tetapi berasingan dari akaun harian seperti Tabung Haji atau ASB

b) Simpanan Berasaskan Matlamat

Menetapkan matlamat khusus untuk simpanan anda boleh menjadi motivasi yang kuat. Contohnya:

  • Simpanan untuk melancong
  • Tabung pendidikan anak-anak
  • Dana untuk perkahwinan

Teknik menarik untuk simpanan berasaskan matlamat adalah dengan "menyimpan dua kali ganda".

Sebagai contoh, jika anda ingin membeli barang yang bernilai RM1,000, tetapkan matlamat anda untuk menyimpan sebanyak RM2,000. Ini bukan sahaja memastikan anda mempunyai wang yang cukup untuk pembelian tersebut, tetapi juga memberikan anda simpanan tambahan.

Kesimpulan

Menyimpan duit bukanlah satu perlumbaan. Ia adalah satu perjalanan yang memerlukan kesabaran, disiplin, dan konsistensi. Seperti kata pepatah, "Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit".

Jadi, tidak kira berapa kecil pun jumlah yang anda mampu simpan hari ini, yang penting adalah anda berjaya memulakan tabiat menyimpan.

Dr. Adam Zubir pernah berkata, "Buatlah simpanan walau sedikit yang anda mampu. Buatlah, anda akan berterima kasih kepada diri anda kerana memulakan tindakan ini dulu."

Jadi, mulakan perjalanan simpanan anda hari ini dengan cara yang paling sesuai untuk anda. Ingatlah, setiap sen yang disimpan hari ini adalah satu langkah ke arah kebebasan kewangan pada masa hadapan.

Tips Simpanan Emas & Public Gold

Masukkan nama dan emel anda untuk saya hantarkan melalui emel.

Leave a Comment