Target kita simpan emas biarlah sampai boleh bayar zakat. Tetapi bilanya yang kita perlu bayar zakat emas?
Zakat emas terbahagi kepada dua iaitu zakat emas yang dipakai dan zakat emas yang disimpan. Dan zakat yang perlu kita bayar adalah sebanyak 2.5% daripada jumlah nilai emas yang kita miliki.
Zakat Emas Yang Dipakai
Emas yang dipakai merujuk pada emas atau barang kemas yang dipakai sebagai perhiasan. Dan kiraan zakat emas yang dipakai ini bergantung pada negeri kerana kadar urufnya berbeza bagi setiap negeri.
Sebagai contoh, uruf bagi emas yang dipakai bagi Negeri Sembilan adalah 200 gram. Jadi jika isteri saya mempunyai emas yang dipakai sebanyak 300 gram, maka kiraannya adalah:
300 gram - 200 gram (uruf) = 100 gram
100 gram x RM225 (kadar emas segram) = RM22,500
RM22,500 x 2.5% = RM562.50
Maka jumlah yang dikenakan zakat ke atas emas yang dipakai adalah sebanyak RM562.50 sahaja.
Zakat Emas Yang Disimpan
Bagi zakat emas yang disimpan pula adalah tetap pada nisab 85 gram. Bermakna jika kita ada simpan emas (termasuk dengan barang kemas yang tidak dipakai selama setahun) akan dikenakan zakat apabila jumlahnya bersamaan dengan 85 gram atau lebih.
Sebagai contoh, saya mempunyai 90 gram emas simpanan yang terdiri dari goldbar dan dinar. Maka kiraan zakat emas saya adalah:
90 gram x RM225 (kadar emas segram) = RM20,250
RM20,250 x 2.5% = RM506.25
Jadi jumlah zakat emas simpanan yang perlu saya bayar adalah sebanyak RM506.25 sahaja.
Namun begitu, untuk kiraan yang lebih tepat dan nilai uruf yang sebenar, perlulah dirujuk dengan Pusat Pungutan Zakat negeri masing-masing.
Bila sudah selesai bayar zakat, barulah terasa lapang dan senang untuk tambah lagi simpanan emas kita.